Ke hulu sudah, ke hilir sudah. Berkumpul sudah, bersidang pun sudah. Sekarang pula masa untuk BERUBAH.
Aku sendiri tidak pasti, apa maksud perubahan-perubahan yang dilaung dan dijeritkan di PWTC tempoh hari tetapi yang pasti semua yang hadir ke sidang tersebut mendengar ungkapan UMNO perlu BERUBAH. BERUBAH jika tidak mahu diUBAH.
Hakikatnya UMNO masih mempunyai harapan. Masih ada ruang. Masih ada kebolehan untuk meremajakan dirinya. UMNO pernah dilanda krisis dalaman yang teruk dan dapat mengatasinya dengan jaya. Jika UMNO masih mahu disayangi oleh orang Melayu keseluruhannya ia perlu membawa politik yang inklusif. Politik yang melibatkan semua orang Melayu tidak kita mereka PR atau BN. Politik yang meyemai rasa sayang dan bukan rasa benci. Politik yang tidak melihat Melayu yang tidak menyokongnya sebagai musuh tetapi sebaliknya sebagai rakan yang tidak sependapat.
UMNO perlu menjalankan transformasi yang lebih bersifat intrinsik. Bukan sesuatu yang superfisial dan kosmetik untuk sekadar melepas batuk ditangga. UMNO perlu Mengubah roh perjuangan kepada perjuangan asal iaitu memastikan kesinambungan hala tuju bangsa Melayu. Memperkasakan budaya dan membudayakan ilmu.
Janji untuk berubah bukan satu janji yang mudah ditunaikan. Jika diteliti dari ucapan ucapan para perwakilan tempoh hari, tentu sekali banyak yang perlu diubah. Banyak sekali.
UMNO kini perlu menerima hakikat yang ia dipandang serong oleh orang Melayu sendiri. Orang Melayu kini sudah punya pelbagai ekpektasi yang tinggi. Orang Melayu sudah banyak yang terdidik dan mempunyai minda yang lebih global sifatnya. Bukan yang boleh dibentuk dan di gembalai oleh propaganda gaya dahulu. Jika dahulu lagu warisan(klik sini) Dato' Nordin Kardi sudah cukup membuat mereka berbaris dalam saru barisan, kini banyak yang sudah keluar membentuk bulatan dan melaungkan slogan Keadilan.
UMNO perlu kepada nilai-nilai universal, nilai yang dikongsikan oleh semua orang. UMNO perlu berkongsi dan membahagikan sumber-sumber kakayaan negara dengan lebih adil dan saksama. UMNO perlu persaingan yang berandarkan meritokrasi bukan kepada kaum kerabat dan kroni semata. Paling penting jangan jadikan UMNO kepunyaan keluarga-keluarga pilihan. Jangan wujudkan dinasti Mahathir, Onn Jaafar atau Abdullah Badawi. Beri UMNO kepada sesiapa sahaja Melayu yang layak.
UMNO mesti berani untuk menghapuskan rasuah dan pembaziran sumber negara tanpa mengira pangkat dan kedudukan. UMNO mesti dilihat sebagai pejuang yang jujur dan berpaksi kepada keadilan sejagat. Buang semua pemimpin yang tidak bersih. Pemimpin yang mengumpul kekayaan peribadi dengan kedudukan yang ada. Pemimpin yang dahulu hanya duduk di rumah murah kini membina banglo 6-7 juta perlu memberitahu rakyat dimana dan bagaimana wang ini dikumpul.
Mungkin artikel ini akan mengundang cemekan sinis atau cemuhan sarkastik kerana selama ini UMNO begitu dan begini. Memandangkan Presiden sendiri sudah melaungkan perubahan maka kita tuntut perubahan dilaksanakan.
Nota: Masa untuk Berubah. Ini bukan iklan syarikat telekomunikasi
Salam...
1 comment:
biarlah berubah yg kebah dan gagah. jangan berubah yg sampah...
Post a Comment