Melihat kepada dua program tv yang menampilkan calon-calon ketua pemuda UMNO dan calon-calon naib presiden UMNO beberapa waktu yang lalu, maka tergambarlah sebenarnya corak dan gaya kepimpinan UMNO masa hadapan. Hambar dan masih berpaksi kepada pemikiran dan falsafah lama.
Calon-calon masih terperosok didalam zon selesa yang terasing dari realiti masa kini. Tidak ada rasa cemas kepada kedudukan UMNO yang semakin hari semakin terhakis dari kedudukannya dahulu sebagai parti yang ulung bukan sahaja parti orang Melayu, tetapi sebagai parti yang menjadi tunjang negara. Tidak ada visi untuk memperbetulkan keadaan, sebaliknya hanya ingin mengekalkan status quo. Tidak ternampak satupun kesedaran untuk memenangi semula hati rakyat Malaysia yang bukan UMNO. Calon-calon nampaknya sibuk menonjolkan diri sebagai pejuang tetapi falsafah perjuangan masing-masing adalah kabur.
Sebuah parti politik diasaskan berdasarkan satu ideologi atau satu falsafah, yang mana ideologi ini menjadi tunjang perjuangan yang menentukan arah mana parti politik itu akan dibawa. Berbagai label diberikan seperti berhaluan kanan, kiri dan dan sebagainya. Parti politik dan ahli politik berjuang diatas platform arus perdana. Yakni membawa kehendak rakyat massa dan bukan sebahagian kecil rakyat semata-mata. Apabila sesebuah parti politik gagal membawa kehendak rakyat massa , lama kelamaan parti ini akan hilang dari arus perdana.
UMNO adalah sebuah parti yang menjadi tunjang negara, oleh yang demikian ia harus menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia. Mungkin bunyinya agak pelik kerana ia parti orang-orang Melayu dan memperjuangkan Ketuanan Melayu. Tetapi ia BOLEH dilakukan. UMNO seharusnya berjuang untuk semua rakyat Malaysia dengan tidak mengkesampingkan kepentingan orang-orang Melayu.
Sebagai contoh UMNO boleh memperjuangkan keadilan untuk semua bangsa, membasmi rasuah disemua peringkat dan mendahulukan kepentingan rakyat dalam program pengkorporatan negara. Pada masa yang sama UMNO boleh memperjuangkan hak untuk pendidikan orang-orang Melayu dan Bumiputera , membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera. Rakyat Malaysia sebenarnya melihat kepada UMNO untuk melaksanakan agenda -agenda ini. Sebagai contoh kita lihat masalah yang ditimbulkan Hindraf. Mereka menyalahkan UMNO walaupun yang gagal adalah MIC!
Dalam kes pengkorporatan, Kerajaan (dibaca UMNO) dilihat tidak mendahulukan kepentingan rakyat . Mereka dilihat terlalu tunduk kepada tuntutan -tuntutan GLC yang terlalu dimanjakan serta ahli-ahli perniagaan elit yang kemudian dianggap sebagai kroni. Budaya rasuah ini bukan budaya orang Melayu dan yang mengamalkannya bukan orang Melayu atau orang UMNO sahaja, namun kerana UMNO dan kerajaan tidak dapat dipisahkan maka UMNO dianggap sebagai parti rasuah.
Hal ini diburukkan dengan kemasukkan ahli-ahli korporat ini kedalam UMNO dan menggunakan UMNO sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan dengan tidak memperdulikan kepentingan umum. Pemimpin-pemimpin muda UMNO pula begitu rakus dengan harta-harta yang dikumpul dengan kedudukan politik. Ini menimbulkan persepsi yang songsang kepada UMNO.
UMNO bukan tidak boleh mempunyai ahli-ahli yang berjaya dari segi korporat atau lain-lain bidang. Tetapi UMNO tidak boleh lari dari landasannya untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak tidak kira Bumiputera atau tidak.
DAP mempunyai banyak ahli yang berjaya dalam hidang perniagaan, tetapi mereka dilihat sebagai parti yang mendahulukan kepentingan rakyat sebagai landasan perjuangan mereka. Dan jika mereka dapat membuktikan kesungguhan mereka membela rakyat marhaen tidak mustahil mereka akan menjadi parti pilihan orang Melayu yang mahu pembelaan.
Cadangan DAP agar Kerajaan membeli pemilikan PLUS dan kemudiannya menurunkan caj tol adalah sangat praktikal dan menarik kepada rakyat. Suara -suara sebegini tidak kedengaran didalam UMNO seolah-olah mereka tidak peduli kepada rintihan rakyat terbanyak.
UMNO boleh berubah. Tetapi untuk melaksanakan ini UMNO memerlukan keazaman dan kesungguhan politik. Malangnya ini yang aku tidak nampak dalam kedua-dua program tempoh hari.
Salam.
No comments:
Post a Comment