Monday, May 25, 2009

Mentaliti kita menentukan jenis pemimpin yang kita pilih...



Perebutan kuasa dan merampas kuasa adalah satu perkara biasa dalam politik. Ahli politik akan mencuba berbagai-bagai cara untuk naik berkuasa. Itu dinamik politik. Bukan ahli politik namanya kalau beliau tidak ingin berkuasa. Ahli politik pada aku , umpama penjual ubat tepi jalan yang akan menjual segala macam ubat yang mampu menyembuhkan segala macam penyakit. Sebut sahaja penyakit apa semua penawar ada ditangannya. Mudah dan murah. Asal sahaja beliau dapat berkuasa ahli politik akan menjual apa sahaja. beliau boleh menjanjikan tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi dan barang diantara keduanya.


Pada yang telah merasa kemanisan dan keseronokkan berkuasa tentu sekali akan ketagihan bila tidak lagi berkuasa. Kecenderungan pihak yang memiliki kuasa adalah untuk menjadikannya hak milik peribadi. Kalau boleh ianya hendak diwariskan kepada anak pinak mereka sahaja. Kalau boleh selagi ada nafas selagi itulah mereka hendak duduk ditampuk kuasa. Manakan tidak kuasa datang dengan berbagai-bagai faedah dan kesenangan. Ada banyak 'fringe benefit' kata orang puteh.
Kuasa menjadi alat untuk menipu, menindas, memanipulasi dan memonopoli sumber-sumber kekayaan dan kerana itu untuk mendapat atau mengekalkan kuasa segala macam taktik, strategi, penipuan, penindasan dilakukan. Orang yang berjuang atas nama demokrasi tiba -tiba bertindak seperti diktator, orang yang berjuang atas nama keadilan sejagat tiba-tiba menjadi pemfitnah nombor wahid dan orang yang berjuang atas nama agama tiba -tiba terlupa hukum halal dan haram. Semua kira boleh, semua halal dan semua adil diatas nama ingin berkuasa.
Ini yang menjadi penyakit dalam masyarakat kita.

Kematangan berpolitik sesuatu kumpulan politik dalam sesuatu negara akan mencerminkan kematangan berpolitik keseluruhan negara tersebut. Lihatlah pemimpin yang kita lantik, kerana beliau akan mencorakan jenis kepimpinan kumpulan atau negara yang beliau pimpin. Ada berbagai-bagai pendekatan dan gaya kepimpinan. Seorang peguam yang arif tentang keadilan, kesamarataan dan kesaksamaan boleh sahaja menjadi diktator yang tiada hati perut . Seorang idealis dan sesterawan boleh sahaja menjadi hipokrit maha besar. Seorang doktor yang dilatih untuk merawat dengan kasih sayang boleh sahaja boleh sahaja menjadi seorang pemusnah. Seorang yang dilatih dalam bidang teologi boleh sahaja menjadi munafik dan pembohong besar demi sedikit kekuasaan. Itulah penangan kuasa.
Tetapi hakikatnya mentaliti ahli politik kita di Malaysia masih belum mencapai akil baligh. Kita belum faham dengan sebenar faham kehendak hakiki menjadi pemimpin. Itu bukan salah sesiapa, itu salah kita sebagai rakyat marhaen. Kita hanya mendapat pemimpin yang layak bagi kita. Jika kita menabur kacang maka yang datang adalah monyet-monyet dan tikus-tikus.
Jika kita melantik pemimpin, kemudian kita menyarungkan 'mahkota' dikepalanya, maka isyaratnya pemimpin jenis apa yang hendak kita cari? tentu sekali yang akan kita lantik adalah dari jenis yang 'Beraja dimata dan Bersultan dihati'. Itu salah kita....
Salam...

1 comment:

PAKCIK said...

saya pilih pemimpin yang bijak dan tidak sombong..seorang pemimpin yang ada agama..seorang pemimpin yang boleh memimpin dan bukannya dipimpin.