Telah berpesan datuk nenek orang-orang Melayu dengan satu pesanan yang paling bijak dan 'forward thinking' kata mat saleh sekarang. AYAM MENANG KAMPUNG TERGADAI kata mereka. Berpesan lagi mereka itu MENANG JADI ARANG KALAH JADI ABU.
Kita tidak perlu pakar bahasa untuk menerangkan makna pepatah tersebut diatas. SUDAH TERANG LAGI BERSULUH . Self explanatory kata sepupu aku kat London nun. Inilah yang bakal menimpa kita semua. Inilah yang menjadi malang bagi rakyat Malaysia. Malang kerana kita dipimpin oleh puak-puak yang buta hati. Aku bukan menuduh BN atau PR. Aku menuduh kedua-dua puak ini bahalol hampeh!. Ada PhD tapi hati penuh hasad dengki, ada degree tapi fikiran macam budak baru ngaji, kata ulamak tapi tamak.
Tidak ada undang-undang atau kitab yang dapat memberi penjelasan kepada semua keadaan. Tidak akan ada tafsiran undang-undang atau kitab yang dapat diterima dengan hakiki oleh semua. Ini berlaku kerana setiap manusia ada agenda dan ada kepentingan masing-masing. Oleh yang demikian dalam semua keadaan harus ada satu tolak ansur dan harus ada sikap berlapang dada kerana takdir tuhan itu ada hikmahnya. Dalam semua situasi kepentingan nasional harus menjadi keutamaan.
Al Gore Boleh sahaja terus mencabar perlantikan George Bush di Mahkamah tetapi demi kepentingan negaranya beliau tidak meneruskan niat menyaman perlantikan George Bush. Begitu cintanya beliau kepada negaranya, beliau tahu negaranya akan huru hara jika beliau membuat tindakan tersebut. Beliau mengorbankan cita-cita peribadi sebagai tanda sayangnya beliau pada negaranya. Adakah Republikan terus memerintah US? tidak kerana selepas beberapa waktu Giliran Demokrat pula untuk berkuasa. Walaupun bukan Al Gore tetapi hakikatnya parti beliau menang kemudiannya.
Nabi Muhammad saw ada bersabda yang antara lain maksudnya apabila beliau mangkat Islam akan berpecah kepada 72 pecahan dan hanya satu pecahan sahaja yang akan masuk syurga. Benar Islam berpecah belah kepada 72 bahagian tetapi masalahnya semua bahagian yang berpecah belah ini mendakwa bahagian mereka sahajalah yang betul dan diterima ALLAH swt. Apa yang hendak diberitahu disini ialah semua orang mengaku merekalah yang benar!. Semua pun datang dengan hujahan hujahan yang lengkap dengan ayat-ayat al quran untuk membuktikan penyaksian kebenaran mereka. Lantas siapakan yang dari golongan 71 bahagian ini?
Kita kini dipersimpangan kerana orang-orang yang kita angkat menjadi pemimpin menggunakan kepala lutut untuk bertindak. Keinginan untuk menang mengatasi kepentingan lain. Kita lupa yang Pak Kaduk berpakaian dari kertas ketika beliau bertarung ayam sabungnya. Habis semua kemaluan beliau terdedah kerana terjerit-jerit hendak menang.
Aku menyeru semua pemimpin yang dilantik untuk memimpin ini agar bermuhasabah diri dan renungi lah nasib bangsa. Kalian bakal meruntuhkan negara ini dengan tingkah laku begini. Ketika dunia menghampiri fasa penjajahan ekonomi dalam bentuk baru (klik sini) dengan sistem kewangan yang dikawal oleh puak-puak elit dunia. Adakah kita bersedia untuk mengharungi semua ini dengan bercakaran sesama sendiri.
Apa faedahnya jika kita ada negara Islam yang setaraf Pakistan, Afghanistan, Sudan? Apa gunanya memerintah negara yang bankkrap dan menjadi hamba IMF?
No comments:
Post a Comment