Aku berumur 4 tahun ketika tragedi May 13 berlaku. Masih terlalu kecil untuk tahu apa-apa. Tidak banyak yang aku ingati kecuali ada suara seorang lelaki yang berucap dari kapal tebang yang terbang rendah di kampung aku di Pulau Juar Perak ketika itu. Apabila aku dewasa aku diberitahu suara itu adalah suara Tunku Abdul Rahman. Aku tak tahu sama ada ia menggunakan pita rakaman atau memang suara beliau sendiri.
Aku masih ingat bapa aku dan beberapa jiran kami menajamkan buluh runcing dan aku juga ingat bapa aku menyimpan parang ladin yang diasap kemeyan ditengah rumah. Pun begitu aku tidak tahu signifikannya semua itu.
Kami berpindah kekuala lumpur tak lama selepas kejadian tersebut. Kalau tak silap aku awal tahun 70 kami sekeluarga berhijrah ke Datuk Keramat. Tragedi 13 Mei tidak timbul semula dalam hidup ku sehingga aku bersekolah di Victoria Institution KL dari tahun 1978. Disini ada rakan -rakan yang berbangsa Cina yang tinggal di Jalan Batu/ Jalan Bandar dan Chow Kit. Komen yang pertama aku dengar dari mulut mereka adalah "Melayu Jahat". Mereka bercerita tentang terpaksa bersembunyi diatas bumbung bangunan dan sebagainya. Aku juga mendengar cerita 'urban myth' tentang seorang isteri kapten tentera yang mati hangus didalam panggung wayang di Jalan Ampang dan berbagai-bagai cerita lagi.
Aku terjumpa sebuah buku berkenaan 13 Mei di perpustakaan sekolah yang dikarang oleh pengarang Melayu. Dari tulisan beliau aku memahami keadaan, persekitaran dan sebab-sebab orang Melayu mengamuk di KL. Aku tidak mahu mengulas panjang tentang hal yang aku tidak mempunyai pengalaman secara langsung. Lagipun ia tidak akan membawa kita kemana-mana.
Cuma aku tertanya-tanya mengapa penyokong - penyokong DAP yang terlalu gembira membawa sepanduk MELAYU BALIK KAMPUNG dan menjerit-jerit supaya Melayu Balik Kampung ketika meraikan kemenangan pilihanraya perbandaran. Pada waktu itu belum ada DEB untuk mereka membenci Melayu. Adakah kerana mereka telah membenci Melayu lama sebelum DEB? Jika dilihat dari kenyataan pemimpin mereka hari ini pun jelas terlihat sentimen yang sama. "to finish UMNO", "Mission to wipeout UMNO" boleh dibaca didalam blog-blog mereka. Malah aku membaca satu komen yang berbau rasis dalam Malaysia Today yang mempersoalkan mengapa orang Melayu harus mengamuk hanya dengan hinaan balik kampung semata-mata. Jelas sekali penulis komen tersebut tidak langsung memahami sentimen orang-orang Melayu. Mungkin beliau terlupa perkataan amuk dalam bahasa Inggeris itu datangnya dari bahasa Melayu.
UMNO sendiri bukanlah pihak yang tidak bersalah langsung dalam hal ini. Dari masa ke semasa ada sahaja pemimpin UMNO yang membangkitkan sentimen kelukaan ini . Ini akan menjadikan beban yang panjang untuk kita maju kehadapan.
Mungkin sukar untuk kita menutup tragedi ini, tetapi hakikatnya kita harus melupakannya dan menjadikan ia pengajaran supaya ia tidak berulang. Negara tidak mampu berhadapan dengan satu lagi tragedi 13 mei.
No comments:
Post a Comment