Sementara masih ada kasih sayang ini
hargailah ia dengan kejujuran
sirami ia dengan kesetiaan sejati
kerna ia yang menjadi tali yang mengikat
Sementara masih ada persahabatan ini
hargailah ia dengan ketulusan
sahabat yang menemani mu sepanjang jalan kehidupan
tidak dia membiarkan mu kehausan atau kelaparan
berkongsi ia apa yang ada didalam kantung yang dipikulnya
suaranya menemani mu membelah lelah kehidupan
nasihatnya bekalan abadi
Sementara masih ada tanah ini
walau hanya sekangkang kera
lindungilah ia dengan raga mu
telah bersumpah nenek moyang dahulu
dengan darah dan nyawa
harga maruah bangsa yang semakin pupus
Sementara masih ada kedaulatan ini
hargailah ia dengan seluruh kehidupan mu
kau tidak akan tahu betapa bernilai amat
sehingga engkau kehilangannya
Selagi rahmat yang Tuhan kurniakan belum putus
bersyukurlah
telah disediakan untuk semua makhluk
apa-apa yang tersurat untuknya
oleh itu
janganlah bertelagah atas Namanya
janganlah memecahbelah atas hakNya
jangan berkhianat atas nikmatNya
jangan mengambil lebih dari apa yang sepatutnya
jangan meminta apa yang bukan milik mu
Sementara semua ini masih ada
hargailah
kerana ia umpama kepak sang rama-rama
indah tetapi rapuh
No comments:
Post a Comment