Monday, November 2, 2009

Penjualan Rumah PPR- Rakyat didahulukan Keuntungan diutamakan

Beberapa hari lalu aku berpeluang menghadiri satu sesi penerangan yang dianjurkan oleh pegawai Kementerian Perumahan dan DBKL kepada penghuni-penghuni PPR bagi menjelaskan skim penjualan rumah PPR kepada penghuni-penghuni yang ingin membeli unit-unit rumah tersebut.

Aku hadir sebagai wakil kakak aku yang tak berapa paham dengan prosedur-prosedur pembelian rumah. 13 tahun dahulu beliau diarah pindah oleh DBKL ke PPR sekarang ini kerana menduduki kawasan setinggan di Kg Bumiputera Datok Keramat. Pada waktu itu mereka dijanjkan oleh DBKL dan Ahli Parlimen pada waktu itu untuk mendapat satu unit rumah murah dengan harga 25,000.00 setiap satu.

Dipendekkan cerita DBKL dan Kementerian Perumahan menawarkan unit-unit rumah PPR kepada penghuni-penghuni sedia ada dengan harga diantara 21 ribu hingga 35 ribu kepada para penghuni PPR yang majoriti adalah dar golongan warga emas dan warga yang berpendapatan rendah. Harga rumah PPR yang ditawarkan kepada kakak aku adalah RM 32 ribu tidak termasuk tambahan berbagai caj seperti peguam, upah ukur termasuk caj MRTA yang berjumlah hampir 5 ribu.

Yang dipersoalkan oleh penduduk setempat adalah jika betul-betul kerajaan ingin mengutamakan rakyat mengapakah caj-caj pelbagai tersebut tidak diserap sahaja oleh DBKL memandangkan caj tersebut terlalu besar jumlahnya iaitu hampir 17% dari harga jualan.

Selain itu skim penjualan tersebut dibuat secara penjualan komersil biasa. Memandangkan ramai penghuni adalah warga tua, maka mereka tidak layak untuk mendapat pinjaman bank. Memandangkan anak-anak mereka juga banyak yang tidak berkemampuan maka impian warga tua ini untuk memiliki rumah tidak akan kesampaian. Maka mereka akan menjadi penyewa sampai mati.

Jika kerajaan benar-benar ikhlas mengapa tidak mereka mengadakan skim jual beli bagi memudahkan warga emas ini memandangkan mereka telah membayar sewa selama 13 tahun. Itulah persoalan yang diutarakan oleh mereka yang mana pegawai-pegawai kerajaan yang hadir pada malam tersebut tidak mempunyai jawaban selain dari memberitahu itu adalah polisi yang diguna pakai.

Jadi kesimpulan yang aku lihat dari sesi tersebut adalah niat baik kerajaan untuk mengambil hati rakyat tidak dapat ditafsirkan dengan betul akibat dari sikap tidak endah kepada permasalahan sebenar rakyat. Masalah untuk memiliki kediaman mampu milik adalah satu hal tetapi masalah tiada kemudahan pinjaman kerana mereka adalah peminjam berisiko kerana faktor usia dan pendapatan rendah juga satu hal.

Hasilnya kumpulan sasar yang sepatutnya menikmati hasil sikap 'baik hati' kerajaan masih terpinggir dan masih menyimpan rasa sakit hati kepada kerajaan kerana keadaan mereka tidak di beri pertimbangan oleh pihak pemerintah.

Kemampuan warga emas ini berhujah dengan fakta cukup mengkagumkan. Dan yang patut diambil pertimbangan oleh pihak kerajaan sekarang ini adalah kebanyakkan mereka adalah pejuang veteran UMNO yang kecewa dengan dasar-dasar Kerajaan dan janji-jani kosong UMNO dan DBKL dahulu sewaktu memindahkan mereka. Mereka kini berpayung dibawah PKR atau PAS.


No comments: