Saturday, July 18, 2009

Ujian Pertama 1 Malaysia

Beberapa minggu akan datang, konsep 1 Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan akan diuji. Bagaimana Kerajaan Najib mengendalikan isu kematian Teoh Beng Hock (TBH) akan menentukan sejauh mana kejujuran konsep ini dalam menangani kepelbagaian kita.


Jika dilihat dari pandangan sepintas lalu, semua pihak mahukan jawaban yang telus dan jujur tentang bagaimana TBH ditimpa nasib semalang ini. Perlu kita ingat dizaman di mana internet adalah jantung informasi masyarakat, propaganda dan 'news spinning' sahaja tidak akan dapat mengabui persepsi masyarakat dengan mudah. Masyarakat hari ini terdidik dan mempunyai cukup sumber maklumat bagi membuat rumusan mereka sendiri. Jika Kerajaan Najib tidak berhati-hati menangani isu ini maka kita semua faktor 'feel good' Najib selama 100 hari ini akan berkubur dengan nisan TBH.


Beranikah Najib menubuhkan Suruhanjaya atau inkues untuk menyiasat punca kematian TBH ini atau kita kembali kepada mod lama dengan bersandar kepada laporan dan kertas siasatan yang tidak diumumkan dan dirahsiakan dari masyarakat.


Jujurkah Najib dalam deklarasinya bahawa rakyat diutamakan tanpa mengira latar belakang dan pegangan politik? atau ia hanya satu lagi retorik kosong yang dicanang umpama tin susu yang kosong?


Kerajaan Najib perlu menangani isu ini dengan berhati-hati. Jika ia dilihat sebagai tidak simpatetik kepada nasib TBH atau hanya ingin melepaskan diri , maka aku berkeyakinan PRU 13 nanti, hampir semua undi Cina pergi ke PR. Gelombang kemarahan dan kesedihan mereka akan menjadi penawar paling mujarab untuk PR yang sedang bergelut dengan perpecahan dalaman.


Kadang-kadang UMNO dan BN sebenarnya menjadi mangsa kepada kelemahan agensi-agensi kerajaan. Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan operasi agensi kerajaan, sebarang kepincangan akan tetap disalahkan kepada kerajaan.


Aku mencadangkan supaya inkues atau suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat punca dan faktor-faktor yang menyebabkan TBH ditimpa nasib yang malang ini. Kerajaan tidak akan rugi apa-apa kerana ia dilihat ikhlas untuk mencari jawaban kepada soalan misteri ini. Jika tidak kerajaan dilihat sebagai cuba melarikan diri dan ini akan menambahkan lagi persepsi negatif rakyat terutama kepada UMNO.

Bola kini di kaki Najib dan kita lihat samada beliau mampu keluar dari kemelut ini sebagai seorang PM yang berwibawa.

Salam 1 Malaysia untuk semua






No comments: