Aku tidak pasti apa sebenarnya strategi TG Hadi Awang mengenai Kerajaan Perpaduan. Adakah beliau ingin menunjukkan kepada umat Islam negara ini akan ketulusan PAS untuk menyatu padukan umat Islam. Dengan itu meningkatkan profail PAS di mata pengundi Islam, memandangkan undi Melayu Islam terbahagi tiga. Mungkin matlamat utama adalah untuk meraih sebanyak kerusi UMNO dalam pilihanraya akan datang. Dengan jumlah kerusi yang banyak PAS berhak untuk menuntut bagi menjadi 'leader of the pack'.
Jika itu adalah matlamat utamanya maka niat sebenarnya tidaklah ikhlas!. Ia umpama askar Muawiyah yang menjulang Al Quran dihujung tombak untuk memujuk Saidina Ali supaya berhenti berperang atas nama perpaduan tetapi mempunyai strategi lain diluar gelanggang perang.
Jika niatnya tiada lain selain perpaduan dengan UMNO dan maka dengan itu dapat mengkesampingkan pengaruh Anwar Ibrahim yang semakin berkembang maka kita pula ingin menyelidiki apakah faedah yang boleh diraih oleh PAS dalam percaturan sebegini?. Mengapa PAS sanggup bersekongkol dengan suatu entiti yang amat dimusuhi mereka sehingga sanggup mereka mengeluarkan fatwa-fatwa yang tidak enak suatu masa dahulu? Mengapa PAS sanggup menggadai undi bukan melayu yang menyokongnya di PRU 12 demi UMNO?
Jika benar tuduhan Kerajaan Perpaduan ini mainan UMNO mengapa PAS melalui TG Hadi Awang dan Ustaz Nasha menyambut permainan ini? Apa pula permainan mereka didalam PAS sendiri?
Sebagai Rakyat marhaen yang duduk ditepi gelanggang ini, aku hanya tertawa melihat permainan ini. Pada aku PAS belum cukup ( bukan tidak kuat..belum cukup kuat) untuk meletakkan apa-apa syarat bila mereka berunding dengan UMNO. UMNO pula tidak begitu kuat lagi untuk memanipulasi situasi. Kita tahu UMNO pula tidak akan mengalah dengan mudah . Melihat sejarahnya UMNOlah yang akan melapah PAS bila ada peluang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak akan berdiam diri melihat semua ini berlaku dibelakangnya!
Akhirnya kedua-dua entiti ini sebenarnya tidak ikhlas untuk berpadu. Masing-masing ada agenda lain selain dari perpaduan.
Apa yang dapat aku pelajari dari semua ini hanyalah Agama akan berada ditahap berbahaya bila dipolitikkan. Fatwa boleh sahaja berubah mengikut masa, keadaan dan keperluan. Semua ini boleh sahaja berubah mengikut situasi dan interpretasi.
Sedihnya ada pengikut yang sanggup berguling-guling diatas jalanraya untuk mempertahankan "HAK" yang dirampas. Lupa adat, lupa adab tiba-tiba PAS dan UMNO berpadu! ape nak kate?
No comments:
Post a Comment