Wednesday, June 24, 2009

Iran - Model Kepimpinan Ulamak Yang Gagal?


Jika kita memerhatikan perkembangan yang berlaku di Iran kita tidak dapat lari dari imej yang terpancar di kaca TV kita iaitu kebanyakan yang turun memprotes kemenangan Ahmadenijad di Tehran dengan jumlah beratus ribu malah berjuta adalah dari golongan muda dan terpelajar. Golongan yang sedar dan terdidik ini memprotes kemenangan golongan konservatif yang sekali gus adalah golongan mullah iaitu golongan agama .


Tiga puluh tahun dahulu golongan yang menyokong Ayatolah Khamenei adalah golongan yang sama. Terpelajar dan muda. Mereka menyokong Ayatollah kerana menentang pemerintahan Takhta Merak milik Shah Reza Pahlavi. Kerajaan yang pada mereka menindas, tidak cekap dan korup.


Iran mungkin negara pertama yang mengenengahkan model negara Islam berkepimpinan ulama. Iran juga merupakan saru-satunya negara di rantau Timur tengah yang mempunyai model demokrasi yang hampir bebas. Aku katakan hampir bebas kerana pemimpin tertinggi di Iran bukan Presiden yang dilantik rakyat, tetapi golongan ulamak yang diketuai oleh seorang yang berpangkat Ayatollah. Kumplan Ulamak ini mempunyai kuasa untuk memveto presiden mereka. Begitu juga mereka mempunyai kuasa untuk memecat Ayatollah mereka. Jadi mereka mempunyai sistem ' check and balance' mereka sendiri.


Jika anda perhatikan, Parti PAS mempunyai model pemerintahan yang serupa. PAS mempunyai Dewan Ulamak yang diketuai oleh Mursyidul amnya yang berkedudukan diatas Presiden. Jadi aku andaikan jika PAS berjaya dalam pemerintahan negara ini, model negara Islam mereka juga mungkin lebih kurang sama dengan apa yang ada di Iran. Mungkin dengan sedikit tambahan, iaitu Institusi Raja-Raja Melayu (itu pun jika mereka tidak berdendam dengan Raja Melayu yang mengarahkan mereka turun takhta di Kuala Kangsar).


Hakikat yang hendak aku katakan disini adalah setelah berjaya membentuk satu Daulah Islamiah mereka sendiri, golongan ulamak ini tetap juga tidak disenangi oleh rakyatnya. Mereka dilihat tidak dapat memahami aspirasi golongan muda di Iran. Rasuah masih berlaku dalam sistem Islam mereka. Inilah yang menyebabkan kebangkitan golongan muda mereka. Perlu kita ingat sekali pun gerakan ini didalangi oleh Amerika dan sekutunya, perkara ini tidak berlaku jika rakyat Iran sendiri tidak bangkit merusuh. Tanpa bibit-bibit tidak puas hati yang tersemat dibenak rakyatnya, Iran tidak mungkin menghadapi masalah sebegini.


Soalnya mengapakah sistem yang kononnya Islamik masih menghadapi kerenah yang serupa dengan sistem yang tidak Islamik. Rasuah dan tidak cekap? Yang paling penting adalah golongan muda yang terdidik juga tidak menyenangi golongan ulamak dan golongan konservatif ini. Adakah ini bermakna model negara Islam berkepimpinan ulamak juga gagal memenuhi aspirasi rakyat?.
Pada pemerhatian aku yang tidak cukup ilmu ini, semua sistem pemerintahan memerlukan pendokong yang tidak mementingkan diri sebaliknya mementingkan perjuangan dan rakyatnya. Tetapi hakikatnya itu sangat sukar dilaksanakan kerana hampir semua manusia samaada mullah, ayatollah, mursyidul am atau apa sahaja mempunyai nafsu kemanusiaan yang sukar dikekang. Itulah sebabnya model sistem Khalifah Islam yang sepatutnya menjadi asas pemerintahan Islam hanya dapat bertahan 4 pemerintahan sahaja. Kuasa dan harta boleh membutakan mata hati malah kepada orang yang terdekat dengan Rasulallah.
Ini mendorong aku bertanya kepada pendokong-pendokong yang ingin menegakkan negara Islam di Malaysia, Model apa yang kalian mahu gunakan memandangkan Malaysia lebih kompleks dari Iran, kerana hanya 51% penduduk yang beragama Islam. Dan setakat ini hampir semua negara Islam mundur atau dikekang dengan rasuah dan ketidak cekapan. Malah jika kita tengak pada fiil ketua-ketua yang duduk didewan ulamak, aku kira negara Islam Malaysia yang diidam akan tersungkur lebih awal..kalau dah rumahtangga tak tahu nak jaga bagaimana nak jaga negara (klik sini)? Setakat ini negara Malaysia Darul Islam boleh ditunda-tunda.
Salam untuk semua.


No comments: