Semakin hari fabrik sosial umat Islam di negara ini semakin kusut. Semakin lama keadaan umat Islam di negara ini semakin genting. Ini bukan salah sesiapa malah ia adalah salah kita sendiri sebagai umat Islam. Ia adalah ciptaan kita sendiri. Ia akibat permainan kita sendiri. Permainan yang suatu hari nanti akan membakar negara ini. Sekarangpun sedikit demi sedikit ia sudah pun menunjukkan bahang. Bahang yang akan mencetuskan nyalaannya bila-bila masa jika tidak di tangani dengan betul.
Mungkinkah ia memang menjadi sesuatu yang biasa di mana-mana negara yang majoriti penduduk Islam?. Taleban berperang untuk menegakkan negara Islam di Afghanistan, Pakistan juga menghadapi masalah serupa. Kini Iran di koyakkan oleh pertembungan Rafsanjani dan golongan konservatif disana.
Mungkin kah ini semua berlaku kerana kita tidak tahu bagaimana hendak berbalah dengan sopan? Mungkinkah kita tidak tahu bagaimana hendal menangani perdebatan yang sivil tanpa melibatkan emosi. Jika kita layari laman-laman blog sopo di negara ini sama ada yang menyokong atau menentang, kita akan dapati gelaran-gelaran yang tidak manis dilabelkan sesama Islam. Anjing, Iblis, Kafir, Komunis, Ajaran Ayah Pin...kita terlupa adab dalam Islam, kita terlupa adat Melayu. Semua halal belaka.
Aku bimbang sekali dengan perkembangan ini terutama apabila ulamak berbalah sesama sendiri di hadapan rakyat awam. Masing-masing dengan hujah yang lengkap dengan nas dan hadis. Masing -masing merasakan berada di landasan yang betul. Masing-masing merasakan yang satu lagi salah. Yang paling menakutkan kedua-duanya mempunyai pengikut masing-masing. Rakyat marhaen akan keliru kerana semuanya ulamak. Semuanya mengaku itulah jalan paling lurus.
Aku tidak ingin menamakan secara spesifik. Anggaplah kita semua terlibat dan kita harus mencari satu formula yang betul untuk berbalah. Kita tidak perlu mengambil alih kuasa Tuhan dengan menjatuhkan hukum sipolan-sipolan kafir, sipolan-sipolan iblis. Itu bukan kerja kita. Nabi Musa sendiri tidak dapat melihat hakikat disebalik kejadian yang disangkanya bersalahan. Sememangnya begitulah hakikat manusia, tidak berupaya dan tidak berkuasa.
Dalam pada kita bertelagah dan berkelahi tentang hal-hal yang remeh , kita sudah jauh ditinggalkan. Kita sudah jauh tersimpang. Jikalau kita gagal melihat 'the big picture' maka sewajarnya kita menjadi hamba ditanah watan sendiri.
Aku rasa tidak perlu aku menegasakan hakikat yang memang jelas. Tidak ada negara Islam yang boleh ditegakkan jika kita tidak mempunyai kuasa ekonomi atau kuasa politik. Kedua-duanya sudah hampir tidak kita milikki. Bergaduh dan bertekaklah, bila kuasa sudah tidak ada ditangan janganlah ketika itu baru hendak tuding-menuding jari. Kita semua bertanggung jawab.
Salam untuk semua.
1 comment:
Salam KJ.
Setiap Rasul yang diutus Tuhan membawa ke arah jalan yang lurus. Amanah Tuhan ialah supaya disampaikan kalam Allah kepada manusia. Supaya diajar apa yang terkandung dalam kitab-kitab Tuhan. Supaya diseru manusia ke arah Jalan yang Lurus. Selesai sudah tanggungjawab para Rasul.
Perselisihan, pecah belah, persengketaan dan permusuhan semuanya diajar oleh pendita dan ulamak yang sesat yang mahu menyesatkan para pengikut. Rasul hanya menyampaikan perkara yang benar. Manusia yang derhaka di kalangan umat kitalah yang membuat segala kerosakan di muka bumi.
Post a Comment