Friday, August 12, 2011

MURTAD-UMNO BUTA, PAS BISU

Aku sebenarnya tidak terkejut dengan isu murtad ini. Ini bukan rahasia besar, ia rahasia yang diketahui umum. Malah isu ini sudah terang lagi bersuluh.

Aku cuma sedih bila UMNO mengambil pendekatan see no evil dan PAS mengambil pendekatan hear no evil. Begitulah ruginya agama bila ia hanya menjadi bahan komoditi puak-puak yang berebut hendak berkuasa. KUASA DUNIA mengatasi ganjaran akhirat hingga tok tok lebai tak berani bangun bersuara.

Aku cuma ingin mengingatkan pemuka-pemuka UMNO dan pemuka-pemuka PAS bahawa ALLAH tidak memerlukan kalian untuk menjaga AGAMANYA, bahawa Agama Islam itu dipelihara oleh Rabbul Alamin. Jika tuan-tuan tidak mengindahkannya, Allah akan melantik puak-puak dan kaum kaum lain memelihara Agama ini.

Ulamak-Ulamak kita sibuk bertengkar siapa wahabbi, siapa salafi, siapa syiah , siapa sufi. Orang -orang UMNO sibuk menyalahkan PAS, orang -orang PAS sibuk melaknat orang UMNO sedang rumah terbakar sedikit demi sedikit.

Ulamak-ulamak PAS terlalu sibuk berpolitik . Ulamak ulamak UMNO terlalu sibuk menjaga periuk nasi. Wahai orang-orang yang memakai jubah ulamak dan mengaku ulamak, jangan lupa tuan-tuan akan terlebih dahulu dicampak kedalam api neraka sebelum kami orang -orang awam.

Bahawa tiap-tiap jiwa yang murtad ini akan meyalahkan tuan-tuan kerana tiada seruan tuan-tuan yang sampai ketelinga mereka di hadapan Rabbul Alamin nanti. Wahai yang dipanggil Tuan Guru, Tok Guru, Mursyidul, Ustaz, Ustazah, Ulamak, dan berbagai nama lagi, setiap jiwa yang tersesat ini akan mencari tuan-puan diakhirat nanti, kerana tuan puan sibuk mengumpul harta dan kuasa.

Sebelum bala menimpa bumi Malaysia ini, bangkitlah tuan-tuan yang mengaku pewaris nabi, turunlah ketanah yang serba kotor ini, basahkan jubah jubah putih tuan-tuan dengan hangir lumpur Dataran Merdeka, Kotoran Jalan Bukit Bintang atau Lorong Hj Taib. Basahkan ketiak tuan-tuan dengan peluh fisabilillah.

Jangan sibuk menjual kismis dan minyak wangi, jangan terlalu taksub dengan MLM dan kereta Mercedes dan BMW serta bini-bini yang ramai. Kerana walau ada satu jiwa Islam yang tersasar maka tuan-tuan akan dapat sahamnya kerana tidak memperdulikan mereka. Tidak ada satu orang dari tuan-tuan yang akan terlepas di hari pengadilan nanti.









No comments: