Jika anda seorang yang rajin membaca akhbar, majalah atau medium maya. Anda akan berjumpa (atau terjumpa) dengan iklan-iklan yang menjual produk-produk yang menjanjikan dengan pelbagai keajaiban yang boleh mengubah hidup anda dari pada biasa-biasa kepada kehidupan super duper jika anda menggunakan produk-produk terbabit.
Ada susu hikmat yang boleh melakukan hampir semua benda kecuali menghidupkan yang mati. Ada buah kismis yang akan menukarkan otak anda menjadi otak Einstein atau Newton , ada air jampi yang boleh membantu anda mengharungi kehidupan bebas berbagai gangguan, ada kurma madu yang boleh membantu anda mempunyai rumah tangga bahagia dan berbagai bagai lagi janji yang hebat. Malah jika kita campurkan semua janji-janji tersebut, dunia ini akan menjadi dunia yang indah untuk semua orang...dengan syarat beli produk-produk tersebut.
Anda pastikan akan bertemu dengan beberapa perkataan kunci yang menggambarkan produk-produk ini terutama perkataan aura. Cuma kadang-kadang aku tersenyum juga bila memikirkan hanya satu huruf sahaja yang membezakan aura dengan auta!
Kini semua adalah 'fairgame'. Semua yang boleh dijual akan dijual. Jampi serapah kini bukan lagi diamalkan oleh dukun-dukun diceruk kampung, tetapi oleh dukun-dukun moden yang mempunyai penampilan korporat. Jika dahulu perkara-perkara sedemikian dianggap karut marut. Kini semua diterima tanpa banyak persoalan.Apa sahaja yang boleh dijadikan bahan perniagaan akan diniagakan. Semua orang, hampir semua orang kini terlibat dalam jual menjual atau setidak-tidak menjadi duta-duta produk. Kini kita ada ustazah yang menjual shampu, tok guru-tok guru yang menjual kismis dan pendakwah-pendakwah yang menjual susu hikmat.
Kini timbul satu lagi trend iaitu, air tulisan alquran dipinggan putih diminum sebagai ubat. Bukan aku tidak pernah terjumpa amalan ini sewaktu aku kecil. Cuma bezanya sekarang ia sudah dalam bentuk skala yang lebih besar dan lebih komersil. Apa beza amalan sebegini dengan jika kita rendam alquran (yang mengandungi ayat-ayat tertentu) dan minum airnya. Dan jika ini boleh dilakukan dan berkesan pula mengapa tidak kita rendam buku-buku teks dan bagi anak-anak kita minum? Kan senang..banyak budak-budak genius yang boleh kita hasilkan!
Aku bukan anti kepada perkara-perkara ini, cuma aku rasa perlu ada etika yang boleh diguna pakai supaya kesucian Islam itu tidak dijadikan bahan perniagaan. Sewaktu aku muda-muda dahulu aku ada mendengar guru yang menyatakan makrifat tuhan itu jangan dijadikan bahan jual beli. Maknanya jika tuhan menganugerahkan kita kelebihan kelebihan tertentu, kita hendaklah tidak mengambil untung daripadanya.
Dunia perniagaan cenderung untuk membuat untung. Godaan keuntungan bisa sahaja menyesatkan manusia dari landasan yanga benar. Jika tidak masakan ada yang sanggup mendakwa kononnya anak-anak genius mereka bisa memformulasikan ubatan-uabatan hikmat yang boleh meukar minda kita kepada minda einstein sedangkan ubatan sebenarnya diimport dari Pakistan?
Salam untuk Ustazah Si Penjual Shampu...
Sunday, January 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment