Saturday, January 9, 2010

Allah suruh Bakar gereja ke?

Dalam hal yang melibatkan emosi sebegini, perbuatan khianat membakar rumah ibadat milik orang lain amat tidak perlu dan amat memalukan. Dalam hal sebegini biasanya umat Islam tewas dan patut berasa malu. Memang benar belum terbukti bahawa yang melakukan peruatan tersebut adalah umat Islam tetapi itulah kemungkinannya.

Kita boleh berdebat dan berhujah secara ilmiah, secara retorik atau secara apa pun, tetapi itu adalah hadnya, ia tidak sepatutnya harus sampai ke tahap militan. Apatah lagi dengan imej umat Islam sekarang yang dilabel sebagai pengganas. Membuat keganasan sebagai tanda bantahan amat merugikan kita semua.

Benarlah Allah itu TUHAN orang Islam. Benarlah bahawa Roman Katolik secara sistematik sebenarnya tidak mahu merujuk kepada ALLAH sebagai TUHAN yang mereka sembah. Banyak bukti dakyah Kristian yang boleh diperolehi diinternet yang mendakwa ALLAH orang Islam menganjurkan keganasan dan dengan demikian bukan TUHAN yang sebenar dan demikian juga bukan TUHAN yang disembah oleh Kristian sekalipun dari asalnya Yahudi, Kristian dan Islam berasal dari akar yang sama.

Orang Katolik di Malaysia juga mempunyai dilemma yang sama tentang sebutan Allah kerana sebutan tersebut telah dilaksanakan oleh Mubaligh- mubaligh mereka ( dengan niat dan strategi tertentu) lebih seratus tahun lamanya. Tentu sekali jika mereka hendak menukar panggilan tersebut setelah lebih seratus tahun mengucapkanya menjadi sesuatu yang sukar. Hal ini perlu juga difahami dan diberi perhatian oleh umat Islam.

Jika kita berbangga dengan dakwaan bahawa Nabi Muhammad disebut didalam kitab hindu, buddha apatah lagi injil maka tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika panggilan Allah juga ada disebut didalam kitab-kitab ini. Jawabanya mudah, DIA tuhan sekelian Alam, takkan namanya tidak boleh disebut oleh mahkluk-makhluk ciptaannya selain dari umat Islam? Sekalipun mereka tidak beriman dengan keesaaan Allah, mereka juga tetap mahkluk Allah yang mempunyai hak-hak yang seharusnya kita hormati.

Allah menjadikan alam ini dengan aturan-aturannya, jika kita sebenarnya beriman denganNYA maka hormatilah aturan-aturan itu. Bersabar dan bertakwa lebih baik dari mengikut amarah dan pujukan hawa nafsu.

Hanya satu jalan sahaja untuk memerangi dakyah Kristian iaitu dengan menjadi pengamal Islam yang lemah lembut dan bersikap sederhana. Allah mentakdirkan semua kejadian didalam Alam ini. DIA tahu apa yang terbaik untuk agamanya. Jika kita ingin berdakwah dengan Kristian di Malaysia, sudah ada satu jalan yang dibukakan. Mereka juga memanggil Tuhan dengan nama Allah. Kita kena lihat dari sudut yang positif dan bukan melihat masalah sebagai satu bencana.

Jika kita ingin berjihad diatas jalannya membakar gereja bukan salah satu dari Jihad itu.

Salam untuk yang berlapang dada.

1 comment:

nurmani said...

salam ,

pandangan yang baik dan tidak emosional tapi ramai mamat mamat kat sebelah sana tak faham .