Wednesday, December 17, 2008

Menetapkan tekad untuk bertukar haluan.

Memandangkan keadaan ekonomi yang semakin merudum di seluruh dunia (klik sini), banyak diantara kita yang mungkin merasa cemas dengan masa depan masing-masing. Banyak syarikat multinasional yang telah memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos operasi. Malah China juga menjangkakan pengangguran dinegara itu akan mencapai tahap kritikal pada tahun 2009 (klik sini). Banyak pakar-pakar ekonomi mengandaikan situasi ekonomi akan bertambah sukar sebelum menunjukkan pemulihan. Maksudnya kita belum betul-betul mencecah lantai, masih terjunam.

Di Malaysia, banyak petunjuk menjurus ke arah kelembapan ekonomi(klik sini), tetapi apa yang kita belum pasti adalah magnitud masalah ini. Hakikatnya Malaysia masih mampu menyerap kejutan ini disebabkan faktor kekuatan dalaman negara ini walaupun kadar pertumbuhan dijangka akan menguncup .

Kepada yang terjejas akibat pemberhentian kerja, waktu sebegini boleh dimanfaatkan untuk mengubah haluan kerjaya dari bekerja dengan orang kepada berkerja sendiri. Sebabnya adalah mudah, bila kita diberhentikan, kita tidak punya banyak pilihan. Kalau pun kita ada pilihan ianya mungkin tidak sebaik sebelumnya. Jadi kita tidak terasa sangat kejutan peralihan ini.

Cuma apa yang perlu ialah mengubah minda dari mentaliti makan gaji kepada mentaliti entrepreneur. Bunyinya senang mudah tetapi hakikatnya ia memerlukan satu anjakkan paradigma yang bukan kecil.

Satu yang baik tentang keusahawanan ini ialah pendapatan anda tidak dibatasi oleh kelulusan. Jika anda bekerja, pendapatan anda (kebanyakkan pekerjaan) dibatasi oleh kelulusan anda. Jika tiada kelulusan sukar sekali untuk anda mencapai tahap pengurus misalnya. Didalam bidang keusahawanan faktor usaha, strategi dan nasib lebih memainkan peranan. Cuma yang membezakan ialah cara berfikir kita semua.

Ketika aku memulakan perniagaan sepuluh tahun dahulu, aku bertemu dengan seorang teman sebaya yang hanya berkelulusan SRP, tetapi memiliki 3-4 jengkaut dan tunai yang melebihi 300k hasil dari berniaga sendiri. Aku yang menghabiskan masa 5 tahun di universiti, tambah 2 tahun buat Sarjana, 10 tahun sebagai pengurus syarikat tersenarai BSKL, tak mampu mengumpul aset dan tunai sebanyak itu.

Malangnya selepas 10 tahun, teman aku tadi kini hanya menjadi kontraktor kecil semula, sebab beberapa kesilapan strategi perniagaan dan tindakan. Itu faktor kurang pengetahuan tentang menguruskan kejayaan!

Banyak bidang yang tersedia boleh diceburi - F&B, laundri, pembinaan, lanskap, pencucian, peruncitan, perbekalan dan perkhidmatan, IT dll. Terpulang kepada minat dan keiginan anda.

Banyak contoh kejayaan yang boleh aku berikan, cuma apa yang perlu aku katakan ialah, semua kawan-kawan aku yang memulakan perniagaan 10 tahun dahulu, belum ada yang tewas. Maksudnya semua mereka masih bertahan dan telah dapat menuai hasil mereka!

Mengapa aku mengajak pembaca ( yang berminat) untuk menceburi bidang ini?. Ini adalah kerana bidang ini tidak banyak di ceburi oleh bumiputera, walaupun banyak sokongan diberikan oleh kerajaan. Dengan memiliki perniagaan, kita boleh menggaji pekerja dan melatih anak melayu/ bumiputera yang lain untuk berdikari jadi kita tak perlu meminta ehsan orang lain untuk menggaji anak-anak kita. Dengan memiliki perniagaan sahaja kita boleh menguasai ekonomi seterus mengembalikan maruah dan kekuatan bangsa melayu.

Ada banyak bidang yang sudah mula menunjukkan penguasaan melayu - bidang makanan, dobi, kontraktor lanskap dan pembersihan, kosmetik . Tetapi banyak lagi yang boleh kita ceburi dan kuasai. Orang melayu sebenarnya mempunyai kuasa beli dan boleh menentukan arah ekonomi. Cuma kita pula bersikap terlalu terbuka. Itu sebab bila orang bukan Islam berniaga makanan dan menampal sijil halal yang di fotostat sahaja, tiada siapa yang nak bertanya, semua redah aje!

Cuma keusahawanan memerlukan minat, daya tahan dan daya juang yang tinggi. Jika anda tidak berjiwa pejuang atau malas untuk bersusah payah dalam hidup, maka bidang ini bukan untuk anda. Tetapi jika anda ingin menguji diri anda, keusahawanan ialah jawabanya!

Salam.

No comments: