Wednesday, December 10, 2008

Cerita Sultan dengan Gembala


Diceritakan di zaman dahulu kala ada seorang Sultan yang memerintah negeri yang besar dan maju. Beliau terkenal kerana kekayaannya dan ini menjadikan beliau sedikit angkuh.

Pada suatu hari beliau pergi berburu dengan gerombolan menteri-menteri beliau dengan menunggang kuda yang cantik dan tangkas. Dalam pada baginda mengejar rusa buruan dengan kuda beliau, baginda telah terpisah dari kumpulan beliau.

Ketika baginda merayau-rayau mencari jalan keluar hari semakin lewat petang. Maka berkata baginda sendirian "lebih baik aku mencari tempat untuk bermalam, esok sahaja aku cari jalan keluar".

Seketika beliau ternampak seorang gembala dikaki bukit lalu menghampiri orang tua tersebut.

" Wahai gembala tunjukkan aku tempat yang aku boleh bermalam, aku telah tersesat dari perburuan ku" titah baginda. "

" Tuanku pergi ke kaki bukit itu, di bawah pokok besar itu ada satu pondok kecil" jawab gembala menunjuk ke satu arah dengan selamba.

"Kamu kenal akan daku?" tanya baginda agak kehairanan.

"Tentu sekali! gembala seperti hamba tidak berpakaian seperti tu" jawab gembala dengan sinis.

Baginda Sultan agak jengkel dengan jawaban itu tetapi beliau tidak ingin memanjangkan urusan dengan gembala tersebut lalu beliau terus menuju kearah yang ditunjukkan oleh sang gembala.

Tepat seperti yang dikatakan oleh gembala, terdapat sebuah pondok kecil yang usang dibawah pohon di kaki bukit. Pondok tersebut beratap daun-daunan dan berlubang-lubang dengan berlantaikan tanah. Sesampai beliau dipondok itu, teruslah beliau bersiap dan menyediakan tempat untuk beliau beradu pada malam nanti. Dalam hati beliau baginda menyumpah-nyumpah akan nasibnya yang terpisah dari gerombolan beliau tadi.

"Manakan layak Sultan seperti aku menghabiskan malam ku di pondok buruk dan usang ini" gerutu beliau seorang diri.

Ditengah pondok tersebut ada selonggok batu. Beliau menguis-nguis longgokkan batu tersebut bagi menyediakan tempat perbaringan beliau. Sebaik sahaja longgokkan tersebut jatuh, terserlah segumpal emas dan intan berlian yang cantik-cantik.

Baginda Sultan terasa sangat hairan dan takjub. Namun terdetik didalam hatinya untuk memberitahu gembala perihal emas-emas tersebut.

Pada pagi esoknya segera beliau melonggok semula batu-batu tersebut dan segera mencari gembala tua . Setelah dijumpainya gembala itu dengan angkuh beliau berkata

"Wahai gembala tua, mahukah kau aku tunjukkan sesuatu yang boleh membawa kau keluar dari kemiskinan mu?"

"Siapakah si miskin yang tuanku maksudkan? dan adakah tuanku merujuk kepada emas dan berlian ditengah pondok itu?" bingkas gembala tersebut menjawab.

"Kamu tahu tentang emas dan berlian itu? jadi mengapa kamu tidak menggunakanya untuk keluar dari kemiskinan mu wahai gembala yang bodoh!" jerkah Sultan dengan amat takjub .

"Kerana hamba tidak miskin tuanku, gembala seperti hamba tidak memerlukan emas untuk membalut diri hamba dengan persalinan sutera, atau istana untuk tidur atau perhiasan untuk kemegahan. Pakaian hamba, makanan hamba dan hamparan tidur hamba adalah apa-apa yang telah Tuhan tentukan buat hamba. Hamba tidak berani meminta lebih dari tu. Emas itu untuk orang yang tidak merasa cukup dengan apa-apa yang telah Tuhan tentukan untuknya. Tuanku ambillah" jawab gembala dengan begitu lembut.

Sang Sultan jatuh dari kudanya mendengar jawaban itu.



2 comments:

indera kencana said...

Hehehehe... baru raja itu tawww. Haaa, terduduk sudahnya.

Boleh jadi gembala tu Ibrahim Adham kot ya AN? Cerita ni bukan cerita dari himpunan kisah Ibrahim Adham ke? ya la.. Ibrahim Adham tu kan asalnya raja sebelum jadi ahlil sufi..

Begitulah pengertian kekayaan buat sesetengah pihak. Ada yang mengukurnya pada bilangan harta, ada yang mengukurnya pada bilangan anak dan ada yang mengukurnya pada maksud kegembiraan itu. Terus terangnya dalam hidup saya, apa yang lebih saya inginkan adalah kegembiraan dan ketenangan. Duit dan wang penting juga tapi tidaklah sampai berkepuk-kepuk hatta 7 keturunan pun tidak habis dimakan.

Saya masih lagi menyimpan hasrat lama yang pernah saya beritahu AN dulu. Andai saya dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah, saya cuma mahukan sebuah rumah di Makkah Al Mukarramah supaya setiapkali tiba musim haji, kita tinggalkan sementara urusan di tanahair, kita bersolok selama sebulan bersama keluarga kita di hadapan kaabah. Wahhhh itulah impian saya jika saya kaya.

KALAM JAUHARI said...

Indera, sebenarnya Sultan itulah Ibrahim Adham. Ada satu-satu peristiwa dalam hidup yang akan menjadi turning point untuk kita mengubah haluan.

Wallahu aklam