Saturday, October 27, 2012

Kaabah sekadar sebagai Prop Drama Erma Fatima.....

Satu trend baru dalam  pembikinan drama di Malaysia. Mungkin belum pernah dibuat oleh negara lain adalah menggunakan Kaabah sebagai Prop (Latar belakang) drama. Menjadi kegemaran Erma Fatima untuk membuat pengambaran di kawasan Masjidil Haram.

Baitullah al Haram bermaksud 'Sacred / Forbidden House'  itu sangat mulia dalam Islam. Baitullah dikatakan berada setentang dengan baitul makmur, dimana malaikat sentiasa bertawaf memuji Allah s.w.t  tanpa henti sehingga hari kiamat. Baitullah menjadi impian setiap umat islam untuk sampai bagi menunaikan rukun islam ke lima atau menunaikan umrah. Bersembahyang di Masjid Al Haram mempunyai keberkatan 100 ribu kali berbanding besembahyang ditempat lain. Begitulah hebatnya  Masjid ini. Tiada tempat lain yang lebih mulai dari tempat ini. Tempat ini sangat suci kedudukannya dalam agama Islam dan hendaklah ia dilayan sebegitu rupa.

Mungkin Erma hendak menunjuk kelainan pada drama-dramanya, namun begitu menjadikan Kaabah sebagai satu prop drama merupakan satu yang tidak sesuai dan amat menghina (pada aku). Terus terang aku sebenarnya tidak tahu hukum berlakon didepan Kaabah, tetapi bagi aku sekalipun ia tidak menyalahi apa apa hukum, aku rasa ia sangat tidak sesuai memperolokkan Kaabah yang menjadi lambang paling mulia dalam Islam.

Berlakon adalah satu perbuatan berolok-olok. Menjadikan Kaabah sebagai prop untuk berolok olok bukan sesuatu yang setaraf dengan kedudukan Kaabah sebagai 'sacred', malah merendahkan martabat Kaabah itu sendiri.

Apatah lagi berpegang tangan dan bersentuhan dengan bukan muhrim dalam kawasan Masjidil Haram.Bukankah ia satu yang lebih menghina? Apa yang Erma hendak tunjukkan kepada khalayak Malaysia?  

Niat sangat penting dalam amal ibadat. Ketika aku menjejak kaki kesana, seorang ustaz mengingatkan untuk menjaga niat. Maksudnya kita hendaklah berniat untuk keBaitullah kerana Allah dan bukan kerana untuk berlakon, melancong,  berniaga atau menjadi peminta sedekah (minta-minta hal dunia kepada Allah).

 Malah ketika bertawaf jika kita berubah niat , contohnya tiba-tiba kita berniat untuk mencari isteri yang hilang atau teralih bahu kiri, maka tawaf yang itu terbatal dan kita hendaklah mengulang sekali lagi amalan tersebut. Begitulah perlunya kita menjaga niat.

Bagaimana pula jika niat asal kita ke Mekah untuk membuat sesuatu selain dari beramal kepada Allah?.
Begitulah bila amal dan agama sudah menjadi komoditi dangangan untuk sedikit keuntungan dunia...








No comments: