Thursday, August 28, 2008

Strategi BN untuk mengekalkan kuasa pada tahun 2013

Benarkah SKMM (Suruhanjaya Kominikasi dan Multi Media) mengarahkah agar laman web Malaysia Today disekat? Laman Malaysian Insider melaporkan disini. Secara jujur aku rasa Kerajaan Kita ( Baca: BN) adalah lebih berakal dan lebih waras daripada ini. Tapi apakan daya kebanyakanya half past six. Mungkin banyak sangat makan daging yang dijangkiti penyakit lembu gila kut?

Jika dibaca dari laporan tersebut alasannya adalah mereka takutkan 400 ribu pengundi baru yang berdaftar setiap tahun dan menjelang PRU tahun 2013 ada 2 juta pengundi baru yang dipercayai lebih celik internet yang dikhuatiri akan terpengaruh dengan 'dakyah' di internet!

Penyelesaiannya? Haramkan Laman Web Malaysia Today! atau mungkin lepas ni laman-laman blog/web yang sewaktu dengan MT. Will this work? Hardly.

Sebagai seorang warganegara yangbertanggung jawab aku ada beberapa cadangan bersepadu yang lebih baik untuk memastikan kemenangan BN pada PRU tahun 2013;

1.Haramkam terus penggunaan internet kecuali perniagaan dan urusan kerajaan sahaja
2.Haramkan semua penerbitan akhbar dan majalah kecuali yang dimiliki oleh kerajaan sahaja
3.Haramkan penggunaan radio dan TV kecuali yang menyiarkan propaganda kerajaan
4.Haramkan penubuhan parti politik terutama PAS, DAP dan PKR kecuali BN sahaja
5.Haramkan semua penerbitan buku buku kecuali buku buku berkenaan masakan
6.Haramkan sebarang pendidikan selain dari pendidikan oleh kerajaan
7 Penjarakan semua orang yang berani berkata tidak kepada kerajaan
8.Ujudkan kem kerja berat bagi mana-mana pihak yang subversif
9.Wujudkan pangkalan data DNA semua pnduduk negara ini untuk mudah mengesani pergerakkan mereka. Ini kita boleh lakukan dengan menandakan semua warganegara dengan bar kod yang boleh dibaca oleh scanner pasaraya
10.Semua ahli parlimen adalah dilantik dan diberi tugasan tersendiri termasuk membangkang

So camna? kalau ini pun tak boleh memastikan BN terus berkuasa aku tak tahu nak kata apa dah....

Salam..

Wednesday, August 27, 2008

Rakyat Permatang Pauh Besuara

Telah bersuara rakyat Permatang Pauh. Pilihanraya Kecil ini mempunyai banyak signifikan terhadap percaturan politik Negara dan memberi impak besar kepada UMNO sebagai pendokong utama BN. Soalan utama disini adakah UMNO memahami mesej tersirat yang disampaikan pengundi Permatang Pauh?

Apakah respon UMNO ?

1. Adakah UMNO memahami bahawa menyokong UMNO tidak lagi dianggap 'cool' oleh generasi muda melayu? dengan demikian segera mengambil langkah untuk 'reengineer' dan 'rebrand' ?

2.Adakah UMNO memahami bahawa pengundi melayu sudah semakin celik politik dan dapat pandang telus gimik politiknya?

3.Adakah UMNO sedar bahawa ia sudah ketandusan isu da modal hingga terpaksa bergantung kepada punggung saiful untuk meraih undi?

4. Adakah UMNO faham bahawa mereka mempunyai pemimpin yang dilihat kaku dan tidak berwibawa lantas perlu dicantas dengan segera?

5. Apakah UMNO tahu bahawa politik angkuh dan sombong menantu kesayangan hanya menjauhkan pengundi daripada mereka?

6. Adakah UMNO sedar poltik cah keting mereka sudah menjadi terlalu parah?

7. Atau semuanya akan kembali kepada status quo, UMNO akan sibuk berebut-berebut jawatan dan terlupa waktu semakin singkat.

Sayang sekali UMNO yang dahulu hero orang -orang melayu kini bagai ikan terdampar diatas darat melenting-lenting tercungap-cungap.

Jika tidak dibetulkan, 3 juta ahlinya akan berbondong bondong pergi kerana tdak ada apa yang hendak direbut lagi.

Tetapi adakah semuanya akan 'smooth sailing' untuk DSAI/PKR/PR? Tidak juga. Harus diingat UMNO mempunyai 78 kerusi. Penyokong tegar dan lebih penting lagi , majoriti orang-orang melayu belum yakin sepenuhnya dengan kemampuan, keikhlasan dan kebolehan PR untuk memerintah kecuali PAS yang mempunyai pengalaman mentadbir.

Setakat yang ditunjukkan oleh Selangor/P.Pinang/Perak aku rasa biasa-biasa saja dan kadang-kadang sama saja dengan BN. Setakat ini tindak tanduk mereka lebih bersifat populis dari menunjukkan falsafah pentadbirannya tersendiri. Tak pernah berlaku dalam sejarah dunia kerajaan yang mengambil alih nak berdebat dengan kerajaan yang pergi tentang hal-hal pentadbiran terdahulu. Kalau betul salah, betulkan sahaja.

Aku tak tahu sama ada DSAI sudah melakukan 'checkmate'nya tetapi jika dia berjaya menjadi PM seperti yang diangan-angankan perkara pertama yang perlu dibuat beliau ialah mengarahkan semua pembancuk kopi/teh dan pemandu peribadi hendaklah terdiri dari lelaki atau perempuan yang berumur 60 tahun keatas.

Kalau tidak masjid-masjid di nagara ini akan penuh dengan orang yang nak buat 'SUMPAH LAHANAT'


Salam...

Monday, August 25, 2008

Apakah Pilihan Orang Melayu?

Keadaan iklim politik semasa negara ini semakin tidak menentu. Aku bercakap sebagai Warganegara berbangsa Melayu dan beragama Islam. Mungkin suara aku tidak mewakili suara ramai tetapi aku ingin membincangkan nasib negara ini menjelang kemerdekaan ke 51 Malaysia. Negara yang sepatutnya berada di aras yang sama dengan Singapura dan Korea Selatan. Negara yang sepatutnya lebih kukuh milai moral dan etika kerana negara ini berpaksikan Islam sebagai pegangan dan bertunjangkan adat Melayu sebagai cara hidup.
Kekalutan pemimpin Melayu berebut kuasa semakin menyenakkan perut rakyat marhean seperti aku. Kerakusan mereka sebenarnya menampakkan betapa cetek dan tidak matangnya kita umat Melayu dalam berpolitik dan betapa bodohnya pemimpin dan orang yang dipimpin. Lebih malang lagi kita mempermainkan syarak dan adat yang kononya kita sanjungi.
Adakah ini tanda-tanda kejatuhan umat Melayu seluruhnya? adakah ini isyarat kemusnahan dan runtuhnya fabrik yang membentuk personaliti kita sebagai umat Melayu? Jika kita lihat sejarah Melaka sebelum kejatuhanya banyak berlaku fitnah dan tohmahan malah perebutan tahta yang menyebabkan Raja-Raja yang yang terlibat terpaksa bersekongkol dengan kuasa luar seperti Cina dan Siam untuk menegakkan kedaulatan kuasa mereka. Apakah yang terjadi akhirnya. Tanah Melayu terjajah selama 500 tahun!
Didalam kes ini jika UMNO menang apakah Melayu jadi Abu atau UMNO kalah Melayu jadi arang? atau apakah jika PR menang Kampung Melayu tergadai? apakah pilihan umat Melayu?
Secara jujur aku tiada jawapan untuk soalan ini...

Thursday, August 21, 2008

Kemerdekaan ini palsu belaka

Kemerdekaan yang kita agungkan sebenarnya palsu sahaja
Kemerdekaan itu tiada- ia hanya satu ilusi
hanya helah penjajah yang ingin terus berkuasa

Kemerdekaan kita itu hanya mainan kata-kata
membuai semangat yang buta hakikat
Kemerdekaan kita khayalan semata

Dimanakah kemerdekaan jika kita masih perlu kebenaran untuk berhimpun?
Bukankah penjajah yang mencipta ikatan itu?
Dimanakah kemerdekaan jika kita boleh dikurung tanpa sebarang pembelaan hanya diatas dasar syak wasangka semata?
Dimanakah kemerdekaan jika kita tidak boleh menyatakan kebenaran?
Dimanakah kemerdekaan jika kejahatan muncul sebagai pembela undang-undang?
Dimanakah kemerdekaan jika syaitan-syiatan yang memakai jubah kadhi duduk ditakhta keadilan?
Dimana kemerdekaan jika semua nilai kehidupan dibuang demi sesuap nasi ?
Dimana kemerdekaan jika moral dan etika dikorbankan untuk pangkat dan harta?

Berhati-hatilah wahai sahabatku...
Kemerdekaan hanyalah ciptaan penjajah-penjajah itu
kemerdekaan hanyalah lagu-lagu merdu yang melalaikan
supaya kita lena sedang mereka memenuhi tembolok masing-masing
diatas titik peluh pejuang pejuang yang terpedaya

Didunia dimana
Yang berbohong dianggap benar
Yang berkuasa menindas si faqir
Yang curang dianggap pemimpin agung
Yang tolol disangka pendita
Yang kejam menjadi pembela
Yang tamak merompak segala
Yang hina dimuliakan

Yang jujur tidak bersuara
Yang ikhlas rela ditindas
Yang amanah membisu seribu bahasa
Yang alim memejam mata
Yang adil berpeluk tubuh

Di dunia dimana
Kejahilan diangkat menjadi haq
Kemerdekaan hanyalah sepatah perkataan yang tiada makna

Wednesday, August 20, 2008

9-11 Quiz

http://www.globaloutlook.ca/Store/Magazines/12/12_quiz.htm

For you guys conspiracy theorist out there take a peek at this quiz. I found it while browsing the net.

Catatan Perjalanan

Telah bermusim aku susuri lorong-lorong ini
Telah lenguh sekali sendi-sendi lutut ku
Kulit-kulit yang kering dan kendur membalut tulang-tulang tubuh ku
Yang semakin longlai

Telah puas sudah ku selidiki
Seluruh pelusuk, ceruk dan rantau
mencari tanda, mencari bekas kehadiran mu disini


Telah puas aku ditertawakan
Kerana pencarian-pencarian ini
Telah puas aku dibodohkan
Kerana terus mencari walau tiada jejak tertinggal

Mengapakah kau menutup jejak mu?
mengapakah kau melindungi kehadiran mu ?
Mengapakah kau bersembunyi dari ku ?

Bagaimana hendak ku kata kau tiada
sedang jiwa ku memanggil mu?

Friday, August 15, 2008

Pendekar Muda

Tak mampu ku fahami
Susun kata mu yang berbilang-bilang
Syair apakah yang kau lagukan
Wahai Pendekar Muda?

Pencakmu sunguh tersusun
Tarian panglima membakar gelanggang
Laungan bak kokok ayam sabung
Tajinya tajam menujah-nujah bumi

Buah dan kunci
dipamer kemas silih berganti
kekuda siap memasak bumi
Sahlah kehebatan
Sahlah kependekaran
Jangan ada yang mencabar jantan
kelak bercerai kepala dari badan!

Panjang keris Panca Warisan
Berkilau bak delima dibawah mentari
Ditunjuk-tunjuk ke langit
Gah sang pendekar dengan sorakan

Nah...mengapa pula Pendekar Muda terhinjut-hinjut?
Ditengah gelanggang serba janggal?
Ahhh..malang sungguh nasib rang muda
Bertas persalinan dek galak tarian

Terlupakah oleh mu
Mengukur baju sepadan tarian?